Tiada Kenaikan Tarif Elektrik Kepada pengguna-Pengguna Domestik Di Semenanjung

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan tiada kenaikan tarif elektrik kepada pengguna-pengguna domestik di Semenanjung melalui pelaksanaan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Februari hingga 30 Jun ini.

Suruhanjaya Tenaga dalam kenyataan memaklumkan, berdasarkan pelarasan itu, pemberian rebat 2 sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan.

Bagaimanapun katanya, pengenaan surcaj 3.70 sen/kWj kepada semua pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri.

“Bagi mengekalkan pemberian rebat dan tanggungan kos surcaj Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) sepenuhnya kepada semua pengguna domestik, kerajaan memperuntukkan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos tersebut,” katanya hari ini.

Menurut suruhanjaya itu, di bawah mekanisme ICPT, kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam bulan dan dilepaskan kepada pengguna elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos yang terlibat.

Jelasnya, bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember tahun lalu, berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain sebanyak RM1.67 bilion, ekoran daripada kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran sehingga mencecah AS$200 per tan.

“Kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat sebanyak 45 peratus dan memberi impak besar kepada tarif elektrik di Semenanjung kerana 59 peratus sumber penjanaan adalah arang batu.

“Peningkatan harga bahan api arang batu adalah di luar kawalan kerajaan kerana ia adalah berasaskan harga pasaran global,” katanya.

Sebagai langkah untuk meminimumkan kesan kenaikan bil elektrik disebabkan oleh surcaj ICPT, kata kenyataan itu, para pengguna elektrik di Semenanjung digalakkan melanggan Green Electricity Tariff (GET) iaitu bekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB).

Katanya, langkah ini supaya pengguna dapat menikmati pengecualian daripada surcaj ICPT elektrik untuk tempoh setahun.

“Pelanggan GET akan turut memiliki Renewable Energy Certificate (REC) yang akan dapat membantu bagi memenuhi komitmen Environmental, Social & Governance (ESG) dan menyokong agenda Tenaga Boleh Baharu negara.

“Selain itu, pengguna boleh memanfaatkan Program Net Energy Metering (NEM) bagi membantu mengurangkan kos bil elektrik,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles