Tiada kenaikan tarif elektrik hingga hujung tahun ini – Nik Nazmi

KERAJAAN bersetuju tidak menaikkan tarif elektrik kepada hampir kesemua pengguna domestik berikutan pelarasan tarif di semenanjung melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara tersebut turut membabitkan pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah.

“Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik. Ini adalah 99 peratus daripada pengguna domestik di semenanjung.

“Pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik di mana surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

“Dalam erti kata yang lain, PMKS termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil, petani, penternak, pekebun dan lain-lain perniagaan seumpamanya juga tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan pelarasan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023, hari ini.

Menurut Nik Nazmi lagi , pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.

Jelasnya, perkara itu selaras dengan hasrat kerajaan supaya subsidi elektrik dilaksana secara bersasar bermula Julai ini.

https://vm.tiktok.com/ZM2yN1W7K/

“Dianggarkan seramai 83,000 pengguna iaitu satu peratus pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan minimum sebanyak RM187. Satu peratus ini bukan golongan T20 tapi mereka yang menggunakan elektrik dengan penggunaan tinggi.

“Walaupun berlaku kenaikan bagi pengguna domestik kategori ini, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta khas untuk kategori ini memandangkan surcaj ICPT tidak dilepaskan sepenuhnya.

“Pengguna boleh melihat jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles