KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya ada dua kem di dalam UMNO hanya dibuat pembangkang untuk mempengaruhi penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) kepada mereka.
Tegas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tiada kem Presiden UMNO, begitu juga tiada kem Perdana Menteri (PM) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Ketahuilah tidak ada orang PM, tidak ada orang presiden kerana yang ada hanyalah orang UMNO dan BN.
“Kita harus ketepikan perbezaan pendapat antara kita, kita mesti bersolidariti bagi memastikan kemenangan BN,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu menurut Ahmad Zahid, UMNO dan BN menawarkan kestabilan dan kemakmuran jika rakyat memberi kemenangan majoriti kepada calon parti itu.
“Kita harap PRU kali ini, rakyat di Perak dan negeri lain menyokong BN. Malah, jentera dan pemimpin semua peringkat serta seluruh negara juga sudah sedia bekerja,” katanya.
Sebanyak enam negeri bawah pentadbiran PAS dan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing serentak dengan Parlimen.
Sebaliknya, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun depan.
Mengenai calon, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, parti itu akan menampilkan 70 peratus muka baharu.
“Kita mahu melihat wajah baharu BN, maka pendekatan di Melaka dan Johor akan digunakan,” katanya.