Tiada Kata Putus, PAS Tetap Bersama MN Dan PN

KUALA LUMPUR: Meskipun diberi kata dua oleh UMNO dan Bersatu, namun PAS pada hari ini menegaskan ia akan menjadi penghubung kepada kedua-dua parti berkenaan dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15.

Presiden PAS ,Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata partinya membuat ketetapan bahawa ia akan tetap meneruskan usaha penyatuan ummah yang melibatkan komitmen UMNO Bersatu.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan hari ini juga memutuskan bahawa parti itu memerlukan keanjalan dalam rundingan dengan kedua-dua parti termasuk dalam pembahagian kerusi pada PRU-15.

“PAS tetap akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan komitmen ketiga-tiga parti teras Melayu bagi menghadapi PRU15, seterusnya menjamin kestabilan politik negara pasca-PRU15.

“PAS berpandangan perlu ada ‘keanjalan’ dalam rundingan dengan pihak UMNO dan Bersatu, termasuklah berkenaan syarat-syarat yang dikemukakan dan rundingan kerusi yang sedang diusahakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO menetapkan tiga syarat utama yang perlu dipenuhi PAS sebelum sebarang perundingan baharu untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu menjelang PRU-15.

Tiga syarat tersebut adalah PAS perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) serta memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.

Malah Bersatu, menerusi Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut bahawa BN merupakan musuh kepada parti itu, yang kemudiannya mengundang respon kurang senang daripada Abdul Hadi.

Dalam pada itu Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti itu tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

DUN bagi Kelantan, Terengganu dan Kedah hanya akan dibubarkan selepas musim tengkujuh berakhir iaitu pada Mac 2023.

“PAS yang menerajui kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membangkitkan tentang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh terdekat.

“Bagi menumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada pertengahan November sehingga Mac 2023, di samping usaha dan langkah pemulihan ekonomi pasca Covid-19,” kata Abdul Hadi.

BBerkaitan

Latest articles