Tiada Jaminan Pengganti Ahmad Zahid Akan Kalis Serangan

KUALA LUMPUR: Masalah UMNO tidak akan selesai sepenuhnya walaupun Presidennya ditukar, tegas Pengarah Strategik dan Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ujarnya, sesiapa sahaja yang menggantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan nombor satu UMNO itu tidak akan terlepas dari serangan dan kritikan.

“Sesiapa pun yang menjadi pemimpin UMMO, dia akan menjadi sasaran serangan. Sesiapa pun, oleh itu jangan kita kata sekarang kita tukar Ahmad Zahid maka yang akan naik itu terlepas dari serangan.

“Sempurna mana pun individu yang akan menggantikan Ahmad Zahid, dia tidak akan terlepas dari serangan. Tidak ada sesiapa pun yang tak kena diserang… Tun Razak, Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn.

“Tun Dr Mahathir pun diserang sebagai Mahafiraun dan Mahazalim,” katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian di Himpunan Solidariti Wanita bersama Presiden ‘Mempertahankan Institusi Presiden’ di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia, hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan naib ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim.

Dalam ucapannya juga, Ahmad Shabery menggesa seluruh ahli akar umbi UMNO terus mempertahankan institusi presiden parti demi menjaga kepentingan masyarakat Melayu.

Desakan supaya Ahmad Zahid berundur semakin lantang kedengaran, termasuk dari pihak lawan, apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, keputusan PRN sebagai referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Beliau seterusnya menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid mesti mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan.

Begitu juga dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah turut menggesa seluruh kepimpinan UMNO harus bertanggungjawab terhadap prestasi buruk parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) kerana Ahmad Zahid bukannya satu-satunya individu yang harus dipersalahkan.

Pada PRN enam negeri lalu, UMNO yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) hanya menang di 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu.

BBerkaitan

Latest articles