Tiada Isu Pelantikan Nurul Izzah Kerana Tidak Ada Bayaran – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelantikan anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada dirinya adalah disebabkan kelayakannya.

Nurul Izzah, yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bukan sahaja memiliki ijazah pertama bidang kejuruteraan tetapi ijazah kedua dalam dasar awam merangkumi ekonomi, politik dan sosial dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies, sebuah universiti di Amerika Syarikat.

“Saya minta, pelawa dia bantu saya di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan tetapi saya tidak bayar apa-apa elaun kepada dia,” kata Anwar ketika ditanya mengenai pelantikan Nurul Izzah yang tidak ada pengalaman dalam ekonomi.

Mengulas perkara itu, Anwar mengakui meskipun beliau memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan, beliau juga tiada kelayakan formal.

Menyorot barisan kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang lalu, Anwar menegaskan ramai pemimpin gabungan itu yang memegang jawatan menteri tidak memiliki kelulusan dalam bidang masing-masing.

”Adakah seorang menteri kesihatan mesti seorang doktor, menteri air sebagai jurutera? Tidak pernah berlaku macam tu,” katanya lagi.

Terdahulu Nurul Izzah mengesahkan beliau dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri yang juga ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau memaklumkan khidmatnya berkuat kuasa 3 Januari lalu.

“Saya harap melalui pengalaman saya sebagai seorang Ahli Parlimen yang terlibat dalam pelbagai bidang ketika berkhidmat sejak empat dekad lalu mampu memberi manfaat dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, akauntabiliti dan dasar polisi negara,” katanya dalam temubual bersama The Star.

BBerkaitan

Latest articles