Tiada isu monopoli dalam pembelian vaksin – Adham Baba

Kerajaan tidak memonopoli pembelian vaksin Covid-19 sehingga didakwa menjadi punca negara ini lambat menerima bekalan vaksin.

memetik laporan Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, malah masalah itu juga bukan berpunca kerajaan tidak mahu melibatkan pihak swasta atau dibuli serta dipermainkan negara kuasa besar.

Beliau berkata, pendekatan yang diambil kerajaan adalah berbentuk ‘whole of government approach’ yang mana selain Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV), ia turut dianggotai wakil-wakil dari Kementerian Luar, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Jelasnya, kerajaan juga tidak pernah menghalang pihak swasta untuk turut sama mendapatkan bekalan vaksin daripada mana-mana pengeluar.

“Namun berdasarkan maklumat dan perbincangan dengan pengeluar vaksin, didapati hampir semua pengeluar vaksin hanya membuat pembekalan kepada kerajaan pada masa ini.

“Perkara ini adalah disebabkan permintaan terlalu tinggi dari seluruh dunia sedangkan kadar pengilangan dan pengeluaran vaksin semasa tidak mampu memenuhi permintaan yang tinggi tersebut,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) yang mendakwa kerajaan memonopoli pembelian vaksin Covid-19 tanpa melibatkan pihak swasta dan menjadi antara punca negara ini lambat menerima bekalan vaksin.

Dr. Adham berkata, Kementerian Kesihatan telah memulakan perbincangan awal sejak pandemik Covid-19 bermula awal tahun lalu bersama pengeluar-pengeluar vaksin bagi mendapatkan akses kepada bekalan sebaik sahaja ia mula dipasarkan secara rasmi ketika mereka mula membuat kajian bagi menghasilkan vaksin.

Namun, katanya, pembangunan sesuatu vaksin perlu melalui proses dan prosedur ketat bagi menentukan ia selamat serta mematuhi kualiti, keberkesanan dan tahap keselamatan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Oleh itu, ujar beliau, Kementerian Kesihatan melalui agensi-agensinya seperti Institut Kesihatan Negara (NIH) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mula mengadakan kajian, perbincangan dan rundingan awal bersama pengeluar-pengeluar utama vaksin seperti Pfizer Inc, AstraZaneca dan lain-lain pengeluar sejak April 2020 lagi.

“Perbincangan dan rundingan tersebut turut melibatkan agensi-agensi di bawah selia Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi seperti National Institute of Biotechnology Malaysia (NIBM) dan pakar-pakar dari universiti tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sebaik sahaja bekalan vaksin mula dipasarkan bermula suku tahun ketiga tahun lalu, Kerajaan Malaysia mula mengadakan rundingan awal dengan pengeluar-pengeluar yang melepasi ujian klinikal Fasa 3.

Katanya, kerajaan seterusnya mewujudkan JKJAV dipengerusikan beliau bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang bertanggungjawab membuat perancangan terperinci bagi mendapatkan akses seterusnya menentukan perolehan vaksin tersebut untuk keperluan imunisasi Covid-19 di Malaysia.

Sehubungan itu, Dr. Adham berkata, tiada sekatan ke atas mana-mana pihak swasta untuk membawa masuk mana-mana vaksin asalkan ia berdaftar dan diluluskan penggunaannya dalam negara.

Malah, katanya, kerajaan sendiri berunding dan memuktamadkan perjanjian dengan syarikat swasta dalam negara seperti Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. (PLSB) bagi membekalkan vaksin Sinovac dari negara China dan juga Solution Biologic Sdn. Bhd.(SBSB) bagi membekalkan vaksin yang dikeluarkan syarikat Cansino juga dari China.

“Kerajaan telah pun membuat pesanan vaksin sehingga 80 peratus dari populasi di Malaysia dan juga membuat pesanan tambahan bagi memenuhi keperluan stok simpanan strategik memandangkan belum ada lagi laporan akhir kajian program pasca vaksinasi tentang kadar tempoh ketahanan perlindungan vaksin bagi penerima vaksin.

“Oleh itu keperluan stok simpanan amat penting supaya Malaysia boleh berdaya tahan dalam melalui fasa pandemik yang dijangka berterusan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

BBerkaitan

Latest articles