Tiada Bukti KJ Gagal Kawal Pandemik Covid-19, Kata Hakim

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa tiada bukti menunjukkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin gagal mengurus dan menyekat penularan wabak Covid-19 seperti yang didakwa oleh seorang pendakwah bebas.

Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan berkata, kepimpinan Khairy ketika negara berdepan pandemik telah diiktiraf secara meluas, termasuk oleh pihak antarabangsa.

“Malaysia telah dipuji sebagai salah satu negara yang berjaya dalam mengurus, menangani dan membendung Covid-19. Dapatan ini diperoleh hasil keterangan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang hadir sebagai saksi plaintif kedua,” katanya dalam penghakiman hari ini.

Dalam pada itu Mahkamah mendapati pendakwah bebas terbabit, Mohd. Rasyiq Mohd. Alwi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq, telah mengeluarkan kenyataan yang diambil di luar konteks dan disampaikan secara tidak benar serta mengelirukan.

“Defendan tanpa rasa tanggungjawab telah menyerang peribadi plaintif dan mencetuskan keraguan terhadapnya ketika rakyat berhadapan dengan wabak yang mengancam nyawa,” ujar hakim.

Tambah beliau, kenyataan tersebut dibuat ketika rakyat berada dalam ketakutan yang tinggi, berdepan virus yang tidak dikenali dan tiada manual yang tersedia untuk menanganinya.

“Plaintif perlu membuat keputusan pantas berdasarkan bukti dan nasihat pakar perubatan serta pegawai kesihatan. Dalam situasi mencabar itu, apa kesannya kepada persepsi masyarakat apabila timbul tuduhan fitnah?” soal beliau.

Mahkamah kemudian mengarahkan Mohd. Rasyiq membayar RM2.5 juta kepada Khairy sebagai ganti rugi. Jumlah itu dianggap munasabah mengambil kira kedudukan serta reputasi Khairy di dalam dan luar negara, termasuk sumbangannya ketika krisis kesihatan awam.

“Rakyat ketika itu menyerahkan nasib kepada Tuhan dan kepada kerajaan. Kenyataan fitnah sebegini hanya merosakkan kepercayaan awam ketika krisis,” tegas hakim.

Khairy memfailkan saman terhadap Mohd. Rasyiq pada 25 Januari 2022 atas dakwaan fitnah yang disiarkan melalui empat kenyataan, tiga video dan satu gambar di akaun Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’. Kenyataan-kenyataan tersebut antara lain menuduh Khairy berbohong mengenai status vaksinasi Covid-19 dan memalsukan maklumat berhubung pengambilan dos vaksin ketiga.

Mahkamah menolak dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa ia adalah fitnah yang boleh menjejaskan reputasi dan keyakinan rakyat terhadap pemimpin ketika negara berdepan kecemasan kesihatan awam.

BBerkaitan

Latest articles