KOTA TINGGI: Enam murid sekolah di daerah ini disahkan menghidap Tuberkulosis (tibi), namun pihak berkuasa kesihatan mengesahkan keadaan masih terkawal dan tidak memerlukan sebarang arahan penutupan sekolah setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, kes berkenaan berada di bawah pemantauan rapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan saringan kontak rapat yang dilaksanakan.
Menurut beliau, enam murid terbabit terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan, dan kesemuanya telah diarahkan menjalani kuarantin selain menerima rawatan mengikut prosedur kesihatan yang ditetapkan.
“Semua murid terlibat kini berada dalam pemantauan rapi KKM dan langkah kawalan telah diambil bagi memastikan penularan dapat dibendung,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau memaklumkan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) turut turun padang ke sekolah-sekolah terlibat untuk mengadakan sesi perjumpaan serta penerangan bersama pihak pengurusan sekolah.
Jelasnya, sesi itu bertujuan memberi penjelasan berkaitan penyakit tibi, kaedah pencegahan serta langkah keselamatan yang perlu dipatuhi oleh pihak sekolah, murid dan ibu bapa.
Dalam pada itu, Aznan menegaskan semua institusi pendidikan perlu sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan KKM, termasuk aspek kebersihan, pemantauan kesihatan murid serta tindakan susulan yang disarankan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berita palsu berkaitan kes berkenaan kerana boleh mencetuskan keresahan dan panik dalam kalangan masyarakat.
“Sebarang perkembangan atau maklumat rasmi hendaklah dirujuk kepada kenyataan KKM atau saluran rasmi Kerajaan Negeri Johor,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Johor kekal komited untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah terus terpelihara melalui kerjasama berterusan dengan KKM dan agensi berkaitan.










