Tiada Apa Perlu Dirisaukan, MSN Sahkan Lee Zii Jia Dalam Keadaan Baik

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan jaguh badminton negara, Lee Zii Jia berada dalam keadaan baik dan tidak berdepan sebarang isu membimbangkan, susulan hantaran misteri yang dimuat naik di media sosialnya semalam.

Hantaran tersebut yang berupa beberapa lakaran abstrak dan gelap, menarik perhatian ramai sehingga meraih lebih 131,000 tanda suka dan 3,000 komen, dengan sebahagiannya meluahkan kebimbangan tentang keadaan mental dan kesihatan pemain itu.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata pihaknya bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah menghubungi pasukan Zii Jia (Team LZJ) untuk mendapatkan penjelasan.

“Mereka memaklumkan tiada apa-apa yang perlu dirisaukan. Mungkin Zii Jia berkongsi gambar-gambar itu kerana minatnya terhadap seni seperti itu,” katanya ketika ditemui pada program Hari Sukan Atlet 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Jefri turut menegaskan, setakat ini tiada sebarang petunjuk yang menunjukkan pemain kelahiran Alor Setar itu mengalami masalah kemurungan atau tekanan peribadi.

“Pasukan dan rakan-rakannya juga tidak nampak sebarang tanda dia ada masalah dari segi mental atau peribadi. Generasi sekarang mungkin suka kesenian begitu, jadi biarkanlah beliau berekspresi,” tambahnya.

Dalam masa sama, MSN memberi jaminan bahawa pihaknya bersama Institut Sukan Negara (ISN) sentiasa bersedia untuk membantu jika diperlukan.

Sementara itu, Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-27 dunia dijangka kembali beraksi di Kejohanan Terbuka Jepun dari 15 hingga 20 Julai ini.

Rankingnya sebelum ini jatuh keluar kelompok 20 teratas dunia susulan hanya sempat beraksi dalam dua kejohanan tahun ini, selepas mengalami kecederaan buku lali kanan pada Final Jelajah Dunia Disember lalu.

BBerkaitan

Latest articles