Tiada Anggota UTK PDRM terlibat insiden Kasari Petugas Media di Kelantan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada petugas Unit Tindakhas (UTK) terbabit dalam kejadian tiga pengamal media mendakwa dikasari pada satu majlis di Kelantan, semalam.

Setiausaha Polis Malaysia PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata pihaknya mengambil maklum insiden yang didakwa berlaku ketika majlis berlangsung di Tanah Merah itu.

“PDRM mengesahkan tiada petugas UTK terbabit dalam insiden yang didakwa itu. Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terbabit.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil sekiranya siasatan mengesahkan terdapat sebarang bentuk pelanggaran kod etika dan tatasusila oleh mana-mana petugas keselamatan ketika menjalankan penugasan pada majlis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PDRM sentiasa menghargai pengamal media dan menghormati peranan mereka dalam menyebar luas informasi kepada masyarakat, khususnya bagi memerangi jenayah.

“Hubungan erat PDRM dengan pengamal media selama ini akan dikekalkan agar masyarakat mendapat maklumat tepat melalui sumber yang sahih,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) kesal dengan insiden dialami tiga pengamal media yang mendakwa dikasari individu dikatakan anggota UTK PDRM, ketika berlangsungnya Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Kelantan.

BBerkaitan

Latest articles