TH Umum Agihan Keuntungan 3.25% Bagi Ta 2024

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan peningkatan agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2024 kepada 3.25 peratus, selepas mengambil kira zakat sebanyak 2.5775 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, berkata agihan keuntungan berjumlah RM2.92 bilion itu akan memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit.

“Kadar agihan ini merupakan yang tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak 2018. Ia didorong oleh prestasi pelaburan yang kukuh hasil pertumbuhan ekonomi dan pasaran saham negara yang positif pada tahun 2024, selain usaha berterusan dalam mengawal kos operasi,” katanya pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH 2024 di Menara TH, hari ini.

Pada tahun lalu, TH mengumumkan kadar agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus, mengekalkan rekod yang sama selama empat tahun berturut-turut.

Sejak penubuhannya 61 tahun lalu, jumlah keseluruhan agihan keuntungan yang telah diagihkan kepada pendeposit kini mencecah RM45.79 bilion.

Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas sokongan dan kepercayaan berterusan terhadap TH.

“Terima kasih juga kepada ahli lembaga, jawatankuasa penasihat syariah, panel pelaburan, pengurusan kanan dan seluruh warga kerja TH yang komited dalam memastikan pulangan terbaik kepada pendeposit setiap tahun,” katanya.

Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing mulai Ahad ini melalui platform THiJARI, kaunter Tabung Haji, Bank Islam dan Bank Rakyat, serta saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, TH terus melaksanakan tanggungjawab membayar zakat bagi pihak pendeposit. Untuk tahun 2024, jumlah zakat yang dilunaskan kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri adalah sebanyak RM99.35 juta.

Secara keseluruhan, TH telah melunaskan zakat berjumlah RM1.47 bilion sejak penubuhannya.

BBerkaitan

Latest articles