KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan bahawa dakwaan berhubung kewujudan kira-kira 10,000 kekosongan rayuan jemaah haji bagi musim haji 2026 adalah tidak benar.
Menurut TH, semua kuota jemaah haji Malaysia ketika ini telah dipenuhi sepenuhnya dan proses tawaran haji kini berada pada peringkat akhir, dilaksanakan mengikut prosedur serta kriteria yang telah ditetapkan.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, TH turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan maklumat yang tersebar di media sosial tanpa pengesahan rasmi, selain mengelakkan penyebaran berita tidak sahih yang boleh mengelirukan bakal jemaah.
“Sebarang maklumat berkaitan urusan haji hanya akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi Lembaga Tabung Haji,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, dakwaan mengenai kekosongan sehingga 10,000 kuota jemaah haji negara tular di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan orang ramai.










