Tetaplah Patuh SOP Jika Dibenarkan Rentas Negeri Sekalipun – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR: Di kala rakyat sedang menantikan khabar gembira pembukaan sempadan negeri, mereka juga harus diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) asas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menggalakkan mereka supaya menjalani ujian saringan COVID-19 secara kendiri menggunakan air liur dengan kerap, bagi menjaga keselamatan individu tersayang, khususnya jika mahu pulang ke kampung halaman.

“Dalam tempoh beberapa hari lagi, sekatan rentas negeri akan berakhir.

“Adalah penting untuk melaksanakan semua langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka, membasuh tangan dan menjaga penjarakan fizikal, termasuk bagi yang sudah divaksin.

“Bagi menjaga keselamatan individu tersayang dan keluarga anda, tolong lakukan ujian kendiri RTK-Ag menggunakan air liur secara berkala,” katanya melalui Twitter, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada semalam berkata orang ramai yang ingin pulang ke kampung atau melakukan ziarah bertemu keluarga di luar lokaliti, dinasihatkan menjalani ujian kendiri COVID-19 apabila pergerakan rentas negeri dibenarkan kelak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan, kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila kadar vaksinasi populasi dewasa di negara ini mencapai 90 peratus.

Portal COVIDNOW menunjukkan kadar populasi dewasa yang lengkap divaksin sudah mencecah 88.8 peratus, setakat tengah malam tadi.

Berita Berkaitan

Komen

Terkini