Terus Ditekan, Muhyiddin Dan Menteri Bersatu Perlu Lepas Jawatan Jika Bermaruah

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi terus mengkritik kepimpinan Bersatu apabila menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan daripada kerajaan, susulan kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Muhyiddin menyerang UMNO dan pemimpin UMNO dengan kasar. Justeru bermaruahkah Muhyiddin dan menteri Bersatu terus kekal dalam kerajaan yang dipimpin oleh UMNO?

“Tekanlah ‘butang’ jika bermaruah. Bangsa Johor tidak percaya kamu prihatin Bangsa Johor,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Malah Mohd Puad turut menyuarakan gesaan yang sama terhadap menteri-menteri daripada Bersatu.

“Muhyiddin (kata) sedia letak jawatan dalam parti kerana Bersatu kalah teruk di PRN Johor.

“Sepatutnya Muhyiddin dan menteri-menteri dari Bersatu letak jawatan dalam kerajaan.

“Mereka berkempen secara habis-habisan. Bersatu berbelanja besar. Termasuk sedia bas untuk mengangkut pengundi,” katanya.

Berikutan prestasi lemah Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor Sabtu lalu, Muhyiddin berkata beliau bersedia untuk berundur dan bertanggungjawab, sekiranya ahli parti menginginkan perubahan pimpinan.

Untuk rekod, Bersatu hanya menang di tiga kerusi daripada kesemua 56 kerusi yang ditandingi, iaitu Maharani, Endau dan Bukit Kepong.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) lalu, Bersatu berjaya menang di 12 kerusi DUN.

Manakala rakan kerjasama Bersatu iaitu PAS hanya menang di satu kerusi.

BBerkaitan

Latest articles