Terus Berurusan Dengan Jabatan Imigresen Untuk Dapatkan Pembantu Rumah Warga Asing

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa mana-mana pihak yang memerlukan pekerja asing sebagai pembantu rumah tidak perlu menggunakan khidmat ejen, sebaliknya boleh berurusan sendiri di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan tidak pernah mewajibkan untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah warga asing perlu melalui ejen dan membayar RM20,000 hingga RM30,000.

“Saya minta seluruh rakyat Malaysia yang mendengar ucapan saya ini dan apa yang saya jawab mengenai pengambilan khidmat pekerja warga asing terutama pembantu rumah, kalau boleh tidak payah gunakan ejen.

“Mereka boleh buat permohonan mendapatkan khidmat pekerja itu secara atas talian atau ke Jabatan Imigresen.

“Di situ mereka tak perlu bayar apa-apa, hanya bayarfeeuntuk mendapatkan pas lawatan kerja sementara bagi mengesahkan pekerja itu bekerja dalam negara. Kosnya sangat minimum,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan pindaan RUU Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran di Parlimen, petang tadi.

Terdahulu beberapa Ahli Parlimen berhujah dengan membangkitkan isu ejen yang mengenakan bayaran sehingga RM30,000 hanya untuk mendapatkan khidmat seorang pembantu rumah.

Menjelaskan lebih lanjut, Hamzah berkata, peraturan kononnya perlu berurusan dengan ejen untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah tidak wujud sebelum ini.

“Kenapa rakyat Malaysia mesti membayar begitu besar sekali? Ini yang menjadi masalahnya. Bila perlukan khidmat pekerja, kena melalui ejen dan bayar sampai RM20,000. Sebab itu ejen begitu lemak.

“Sebelum ini, dalam tempoh 15 tahun dahulu hanya RM1,500, naik kepada RM5,000, kemudian RM10,000 dan akhir-akhir ini saya difahamkan sehingga RM20,000,” katanya.

Sehubungan itu, pindaan RUU berkenaan bertujuan menjadikan Malaysia sebagai negara bebas daripada hamba abdi.

Malah KDN sedang memikirkan bagaimana caranya untuk memastikan masalah ejen ini dapat diselesaikan.

BBerkaitan

Latest articles