Kuala Lumpur: Mahkamah menangguhkan perbicaraan kes Johnathan Wong Futt Po,40 yang didakwa melakukan kesalahan pecah amanah lebih RM4.3 juta kepada 20 Ogos depan.
Tertuduh yang dituduh melakukan kesalahan itu pada 13 April tahun lalu tidak dapat hadir ke Mahkamah berikutan masalah kesihatan.
Penangguhan itu dibuat di dalam kamar kehakiman Mahkamah Sesyen Jenayah 10 di sini.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyalahgunakan wang berjumlah RM4,362,943 milik Syarikat Novel Leap Sdn Bhd untuk kepentingan sendiri.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Prestige, Jalan Pinang di sini.
Timbalan Pendakwa Raya Raihanan Abdul Razak mewakili pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Siti Anis Che Abdul Wahab.