JOHOR: Perbuatan terlanjur sepasang kekasih akhirnya terbongkar apabila kelahiran seorang bayi berusia dua bulan membawa kepada siasatan pihak berkuasa agama, semalam.
Dalam kenyataan rasmi, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memaklumkan, pihaknya menerima aduan orang awam sebelum menjalankan siasatan terhadap seorang wanita berusia 22 tahun di sebuah kampung di negeri ini.
Menurut JAINJ, sepasukan penguat kuasa hadir ke kediaman wanita itu sekitar jam 10 pagi dan disambut baik oleh ahli keluarganya.
Pemeriksaan di ruang tamu menemukan seorang bayi lelaki berusia dua bulan yang sedang tidur, dipercayai anak kepada wanita tersebut yang dilahirkan di Hospital Muar.
Siasatan lanjut mendapati bayi berkenaan hanya didaftarkan dengan nama ibu tanpa maklumat bapa.
Wanita terbabit yang belum berkahwin dan kini tidak bekerja mengaku pernah menjalin hubungan dengan seorang lelaki yang juga jiran sekampungnya.
“Hasil pengakuan, wanita itu mengakui hubungan terlarang tersebut berlaku sehingga menyebabkan kehamilan,” menurut kenyataan itu.
Bertindak atas maklumat tersebut, penguat kuasa kemudian menjejaki lelaki berusia 24 tahun itu di kediamannya yang terletak tidak jauh dari rumah wanita berkenaan.
Lelaki bujang yang bekerja sambilan itu dilaporkan terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa, namun akhirnya mengaku melakukan perbuatan zina bersama wanita tersebut.
Dia turut mendedahkan hubungan terlarang itu berlaku di dalam kereta ketika berhenti di tepi jalan pada waktu malam, tahun lalu.
Lelaki berkenaan menyatakan kekesalan dan berjanji akan bertanggungjawab, termasuk hasrat untuk mengahwini wanita tersebut, namun sehingga kini tiada tarikh pernikahan ditetapkan.
Dalam perkembangan sama, ibu bapa kedua-dua pihak turut dipanggil dan dilaporkan menzahirkan rasa kesal terhadap kejadian itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000, penjara maksimum tiga tahun atau enam sebatan, atau mana-mana kombinasi hukuman tersebut jika sabit kesalahan.










