Terlalu Bergantung Undi Bukan Melayu Punca PKR, Amanah Rela Dicucuk Hidung Oleh DAP

KUALA LUMPUR: Memandangkan DAP ‘memegang’ pengaruh dan sokongan pengundi bukan Melayu, menjadikan PKR dan Amanah hanya menurut apa yang distrategikan parti berkenaan.

Perkara itu dilontarkan Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak sambil menambah hanya 20 peratus orang Melayu memberikan undi kepada PH pada Pilihan Raya Umum PRU ke-14 (PRU) yang lalu.

Malah Najib meramalkan jumlah undi Melayu kepada PH akan terus merosot pada PRU15 seperti yang berlaku pada pilihan raya negeri (PRN) di Johor dan Melaka sebelum ini.

Najib mendakwa, Pengerusi DAP Lim Guan Eng menyedari realiti yang sedang dihadapi oleh PKR dan Amanah.

“Guan Eng bukan tak tahu bahawa semua parti dalam PH sangat bergantung kepada undi bukan Melayu yang dikuasai DAP.

“Sokongan Melayu kepada PH cuma 20% dalam PRU14 dan hampir pasti sudah banyak menurun pada PRU15 akan datang seperti digambarkan dalam keputusan PRN Melaka dan Johor.

“Sebab itu, parti-parti dalam PH amat takut dengan DAP. Jika tak percaya, boleh tanya Mat Sabu dan Lid,” kata Najib.

Bekas Perdana Menteri itu mengulas laporan media bahawa Guan Engn menafikan parti itu mendominasi kerajaan mahupun Pakatan Harapan (PH) semasa pakatan itu memerintah selama 22 bulan sebelum ini.

Guan Eng mendakwa, strategi UMNO untuk memenangi pilihan raya umum akan datang dengan menjaja naratif bahawa kerajaan PH adalah kerajaan DAP merupakan satu tindakan yang memutarbelitkan fakta dan angka terhadap peranan parti itu.

Katanya, walaupun DAP adalah parti utama, tidak sekali-kali DAP mendominasi kerajaan atau PH adalah kerajaan DAP seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kabinet PH terdiri daripada 29 ahli, di mana DAP hanya mempunyai enam menteri. Tiada seorang pun daripada enam menteri DAP itu memegang jawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

“Perdana Menteri harus kembali dan belajar matematik tentang cara mengira, jika dia percaya bahawa enam daripada 29 anggota Kabinet sama dengan mendominasi Kabinet kerajaan,” katanya.

Beliau mendakwa UMNO akan memainkan sentimen ekstremis untuk memenangi pilihan raya umum dengan menyalahkan segala-galanya kepada DAP.

Latest articles

Related articles

spot_img