MELAKA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh secara rasmi menamatkan tugasnya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Melaka hari ini, selepas mengumumkan peletakan jawatan itu pada minggu lalu.
Menerusi video yang dimuat naik di media sosial, beliau dilihat mengemas barangan di pejabatnya di Seri Negeri sambil mengucapkan terima kasih kepada kakitangan yang pernah bekerja bersamanya sepanjang tempoh perkhidmatan.
Rakaman itu turut memaparkan Dr Mohamad Akmal meninggalkan pekarangan Seri Negeri sebelum bersalaman dengan kakitangan yang hadir. Turut kelihatan dalam rakaman tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhira Abu Zahar.
Dalam perkongsian berkenaan, Dr Mohamad Akmal menegaskan bahawa jawatan dan kedudukan hanyalah bersifat sementara, namun maruah serta prinsip adalah nilai yang kekal.
“Saya diangkat ke jawatan ini kerana rakyat. Maka menjadi kewajipan saya mempertahankan suara mereka kerana tanggungjawab kepada rakyat lebih utama daripada kepentingan diri,” katanya.
Beliau turut menutup perkongsian itu dengan ucapan, “Terima kasih Seri Negeri, sampai kita bertemu lagi.”
Pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, ADUN Merlimau itu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai EXCO Melaka merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, jawatan yang disandang sejak April 2023.
Dr Mohamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata, peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa pada minggu ini.
Sebelum ini, media melaporkan beliau memberi bayangan bersedia melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO dan EXCO Kerajaan Melaka susulan kontroversi kenyataannya yang mendesak parti itu menilai semula kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan.










