KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memperoleh perintah Mahkamah Tinggi bagi menyita harta alih milik Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos, susulan kegagalannya melunaskan kos penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85.
Perintah Writ Penyitaan dan Penjualan itu diperoleh Teresa selaku pemiutang penghakiman, manakala Jamal dinamakan sebagai penghutang penghakiman.
Proses penguatkuasaan dilaksanakan hari ini di kediaman Jamal di Ampang Jaya dengan kehadiran bailif mahkamah serta wakil peguam Teresa.
Peguam Teresa, Datuk S.N. Nair berkata, tindakan tersebut dibuat berdasarkan penghakiman muktamad Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam satu saman sivil yang membenarkan penyitaan harta bagi mendapatkan semula kos yang masih belum dibayar.
Menurut beliau, bailif mahkamah diberi kuasa untuk memasuki premis menggunakan kekerasan munasabah sekiranya akses dihalang, dengan pelaksanaan dipantau oleh peguamcara plaintif bagi memastikan semua prosedur undang-undang dipatuhi.
Kes itu berpunca daripada saman fitnah yang difailkan Teresa terhadap Jamal berhubung kenyataan berkaitan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) pada 2017.
Mahkamah Tinggi sebelum ini memerintahkan Jamal membayar ganti rugi RM300,000 serta kos RM50,000, dengan Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk merayu pada Julai tahun lalu.
Difahamkan, Jamal telah menjelaskan bayaran ganti rugi RM300,000, namun kos mahkamah yang masih tertunggak menyebabkan tindakan penyitaan harta dilaksanakan.










