KOTA TINGGI: Seorang anggota tentera darat ditemukan lemas di Tasik Empangan Linggiu, Bandar Tenggara, hari ini.
Ketua Polis Kota Tinggi, Yusof Othman, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai insiden menimpa lelaki berusia 32 tahun itu pada 2.35 pagi.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa yang sedang menaiki bot milik Angkatan Tentera Malaysia bersama tiga anggota lain sebelum bot dinaiki terlanggar objek dipercayai kayu hanyut menyebabkan mereka terjatuh.
“Bagaimanapun, tiga yang lain dapat menyelamatkan diri dan usaha mencari mangsa di sekitar kawasan berkenaan tidak menjumpai sebarang petunjuk sebelum mereka memaklumkan kejadian terbabit kepada penyelia bertugas.
Susulan itu, sejumlah pegawai dan anggota dari Balai Polis Bandar Tenggara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi serta Bandar Tenggara serta unit skuba telah diatur gerak bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat, menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Yusof berkata, mangsa dijumpai oleh unit skuba pada kedalaman 13m dengan kedudukan kira-kira 7m dari lokasi dia dilaporkan terjatuh pada 11.50 pagi.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa naik ke permukaan sebelum dihantar ke unit forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan prosedur siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.