KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam UMNO, termasuk sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli parti.
Dalam kenyataan media ringkas, Tengku Zafrul berkata keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan panjang dan perbincangan termasuk dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Keputusan ini dibuat selepas bermuhasabah dan mengambil kira faktor keserasian serta kesesuaian,” jelas beliau.
Bekas Menteri Kewangan itu juga mengesahkan beliau telah menyatakan hasrat menyertai PKR dan akan melalui proses permohonan keahlian seperti biasa.
“Saya telah memaklumkan niat ini kepada Presiden dan Setiausaha Agung PKR,” katanya.
Tengku Zafrul, 51, menyertai politik secara aktif pada 2020 dan pernah bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor dalam PRU15, namun tewas tipis.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Bendahari UMNO Selangor sebelum meletakkan jawatan pada April 2024.