KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan bahawa 2 Disember ini akan menjadi hari terakhir beliau menerajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurut beliau, tumpuan kini diberikan kepada memastikan proses peralihan kepada pengganti baharu berjalan lancar agar visi dan hala tuju kementerian dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Peralihan ini adalah keperluan undang-undang. Saya akan membantu sepenuhnya individu yang menggantikan saya agar kesinambungan dasar MITI kekal kukuh,” katanya pada sidang media pembentangan Kad Laporan Prestasi MITI Suku Ketiga 2025, hari ini.
Tengku Zafrul yang menamatkan tempoh dua penggal sebagai senator menjelaskan, beliau belum dimaklumkan siapa bakal penggantinya.
Katanya, keputusan berhubung pelantikan baharu diserahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Setakat ini, tiada perbincangan rasmi mengenai peranan saya selepas ini. Namun jika diperlukan, saya bersedia membantu berdasarkan arahan pimpinan,” jelas beliau.
Selain Tengku Zafrul, tiga lagi menteri yang turut dijangka menamatkan penggal pertama sebagai senator pada 2 Disember ini ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar, serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sebelum menyertai Kabinet, Tengku Zafrul merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd dan CIMB Bank Bhd.
Beliau mula menceburi politik apabila dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 9 Mac 2020 oleh Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.










