KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kini secara rasmi menerajui kepimpinan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu bagi penggal 2025–2029.
Pelantikan beliau diumumkan sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-80 BAM yang berlangsung hari ini di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Tengku Zafrul menyifatkan amanah ini sebagai satu penghormatan besar dan menjanjikan pendekatan penuh dedikasi serta kerjasama merentas sektor dalam membawa sukan badminton ke tahap yang lebih membanggakan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua Ahli Majlis BAM atas kepercayaan ini. Ini adalah satu tanggungjawab besar yang akan saya pikul dengan penuh komitmen,” katanya selepas pengumuman rasmi.
Menariknya, Tengku Zafrul turut menyatakan hasrat untuk melaksanakan pendekatan 100 hari pertama bagi meneliti cabaran dalaman BAM sebelum membentangkan pelan strategik pembangunan sukan badminton negara.
“Saya mohon ruang 100 hari untuk mendengar dan memahami isu secara menyeluruh. Kita mahu pastikan segala langkah seterusnya tepat dan berimpak,” tegasnya.
Tengku Zafrul menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, yang berundur selepas menerajui BAM sejak 2017 dan memainkan peranan penting dalam menstruktur semula landskap badminton tanah air.
“Sumbangan beliau amat besar. Kejayaan yang kita kecapi hari ini adalah hasil usaha kepimpinan beliau yang tidak mengenal lelah,” ujar Zafrul penuh penghargaan.
Mesyuarat Agung turut menyaksikan pelantikan semula Datuk V Subramaniam sebagai Timbalan Presiden 1 manakala Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos Janarthanan dilantik sebagai Timbalan Presiden 2.
Pelantikan Zafrul turut dilihat sebagai usaha memperkukuh hubungan antara sektor korporat, kerajaan dan pembangunan bakat sukan bagi memastikan Malaysia kekal antara kuasa besar badminton dunia.