Tempoh Reman Berakhir, Ibu Bapa Zayn Rayyan Kena Dakwa Hari Ini

KUALA LUMPUR: Ibu dan bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemukan maut akibat dibunuh akan didakwa di Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Perkara itu disahkan oleh peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili bapa kanak-kanak berkenaan ketika dihubungi, selepas tempoh reman kedua-dua mereka berakhir hari ini.

“Saya hanya boleh sahkan yang pasangan itu akan didakwa hari ini. Mengenai pertuduhan apa saya tidak boleh maklumkan lagi kerana perlu bertemu dengan timbalan pendakwa raya terlebih dahulu,” katanya.

Setakat 8 pagi, pengamal media telah berkumpul di luar mahkamah kerana tidak dibenarkan masuk dan dikawal ketat oleh pengawal keselamatan.

Turut kelihatan beberapa individu dipercayai ahli keluarga kepada pasangan suami isteri itu.

Pada 6 Dis tahun lepas mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Ibu bapa kanak-kanak malang itu yang ditahan pada 31 Mei lepas di sekitar Puncak Alam, Selangor ditahan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lepas bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles