Teman Lelaki Antara Tiga Ditahan Berkaitan Mayat Remaja Hilang Di Kajang

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan polis telah menahan tiga individu bagi membantu siasatan penemuan mayat di Banting, pada Ahad lalu, yang dipercayai merupakan milik remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang di Kajang, 19 Dis lalu.

Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 51 tahun.

Turut ditangkap adalah teman lelaki mangsa.

“Ketiga-tiga suspek direman selama enam hari, mulai hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu Hussein memaklumkan, mayat yang dijumpai itu telah reput dan tidak dapat dikenal pasti melalui pengecaman fizikal.

“Proses bedah siasat telah dijalankan di Hospital Banting. Polis masih menunggu keputusan analisa DNA untuk pengesahan identiti mangsa tersebut,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 19 Dis lalu, remaja perempuan berusia 15 tahun bernama Yap Xin Yuan dilaporkan hilang selepas menghadiri sesi latihan tarian singa di kawasan gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras.

Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof berkata pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan Yap daripada keluarganya pada 2.15 pagi, sehari selepas kejadian.

Kemudian polis memaklumkan penemuan satu mayat reput itu disyaki ada kaitan kes kehilangan remaja tersebut.

Sumber memaklumkan, penemuan mayat mangsa yang dipercayai dibunuh dan dibuang dalam sebuah sungai itu hasil penahanan tiga individu dengan salah seorang daripadanya dikatakan teman lelaki mangsa.

BBerkaitan

Latest articles