Telur, Ayam Dan Sayur Turun Harga Mulai 1 Januari

SEBERANG PERAI: Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini akan menyaksikan empat bahan mentah di Semenanjung mengalami penurunan harga, berkuat kuasa esok.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP) memaklumkan barangan tersebut adalah ayam mentah, telur, sayur sawi serta kacang panjang.

Pengarah Penguatkuasa KPNHEP, Azman Adam berkata, penurunan harga itu berdasarkan lokaliti serta situasi semasa bagi memastikan pengguna menikmati pembelian pada harga berpatutan.

“SHMKM dilaksanakan bagi memastikan keberadaan barangan tersebut dalam pasaran serta harga yang bersesuaian mengikut situasi dan faktor tertentu.

“Jadi bagi Semenajung, penurunan harga empat bahan mentah itu akan berkuat kuasa esok.

“Untuk makluman, harga maksimum sekilogram ayam kini RM9.30 dan ia akan turun kepada RM9.10 bermula esok.

“Selain ayam, telur sayur sawi serta kacang panjang juga akan mengalami penurunan harga,” katanya selepas melakukan pemantauan harga Ops Back To School dan SHMKM di Pasar Raya Mydin Seberang Perai, hari ini.

Bagaimanapun Azman berkata, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran berhubung penurunan harga barang mentah sebaliknya mengikut trend pasaran terkini.

“Kita ikut trend pasaran terkini bagi memastikan barangan tersebut tidak naik lagi dalam tempoh SHMKM.

Awal minggu ini kerajaan mengumumkan SHMKM yang dijadualkan berakhir Jumaat ini (31 Disember), dilanjutkan selama 35 hari lagi berkuat kuasa 1 Januari hingga 4 Februari tahun depan.

Manakala jumlah barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMKM itu adalah sama iaitu melibatkan 12 jenis barangan makanan keperluan asas dari kategori ayam, telur ayam dan sayur-sayuran.

BBerkaitan

Latest articles