Telegram Jadi ‘Kedai’ Lucah, Penganggur Didenda RM3,000

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengedar bahan lucah melalui aplikasi Telegram.

Tertuduh, Ammar Azaruddin, 28, mengelak hukuman penjara selama empat bulan selepas membayar denda tersebut yang dikenakan oleh Majistret Aina Azahra Arifin.

Mengikut pertuduhan, Ammar didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana menjual atau mengedarkan bahan lucah iaitu kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, seorang anggota polis telah menemui laman web yang mengandungi pautan ke saluran Telegram yang mempromosikan kandungan berunsur lucah pada 9 April lalu.

Akses kepada bahan tersebut hanya diberikan selepas bayaran dibuat oleh pengguna.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh yang memohon hukuman lebih berat sebagai pengajaran, memandangkan kesalahan itu membabitkan elemen eksploitasi siber yang serius.

Bagaimanapun, peguam bela Siti Summaiyah Ahmad Jaafar daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), merayu mahkamah menjatuhkan denda minimum dengan memaklumkan bahawa anak guamnya telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.

Mahkamah kemudian memutuskan denda RM3,000 dan Ammar membayarnya serta-merta, sekali gus mengelakkan hukuman penjara.

BBerkaitan

Latest articles