MELAKA: Pergaduhan dipercayai berpunca daripada sebuah telefon bimbit berakhir tragedi apabila seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas ditikam bertubi-tubi menggunakan parang oleh rakannya sendiri di hadapan rumahnya di Jalan Mohd Akhir, Kampung Sungai Udang, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, suspek lelaki berusia 44 tahun dikatakan datang ke kediaman mangsa bagi mengambil semula telefon bimbit miliknya yang sebelum ini diserahkan kepada mangsa.
Namun pertemuan tersebut bertukar tegang sebelum tercetus pergaduhan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, mangsa kemudian diserang menggunakan sebilah parang di anjung rumah sehingga mengalami kecederaan parah.
Menurutnya, abang mangsa yang berada di lokasi cuba mengejar suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu.
“Suspek melarikan diri kira-kira 300 meter dari tempat kejadian sebelum memecahkan cermin sebuah kereta milik orang awam untuk bersembunyi,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati mangsa mengalami sekurang-kurangnya tiga tikaman di bahagian dada kiri. Polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.
Hasil semakan awal juga mendapati kedua-dua individu terbabit saling mengenali dan masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah serta dadah.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.










