Tekanan Perasaan Selepas Isteri Meninggal Punca Pemandu Treler Meniarap Atas Jalan

KUALA LUMPUR: Tular di media sosial kelmarin, seorang lelaki dipercayai pemandu treler mencetuskan kekecohan apabila meniarap dan melompat-lompat di atas Jalan Parit Bilal, dipercayai akibat tekanan emosi berpanjangan selepas kehilangan isterinya.

Kejadian itu mencuri perhatian pengguna jalan raya sekitar Batu Pahat apabila lelaki tersebut, dalam keadaan tidak stabil, dilihat mundar-mandir dan menunjukkan tingkah laku seperti kurang siuman di tengah jalan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sekitar jam 1.20 tengah hari dan segera bertindak ke lokasi.

“Siasatan awal mendapati lelaki berusia lingkungan 40-an itu dipercayai mengalami kemurungan serius selepas kehilangan isteri tercinta.

“Ujian saringan air kencing mendapati dia negatif bahan terlarang. Insiden ini berpunca sepenuhnya daripada tekanan perasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan melibatkan pengguna jalan raya lain, dan lelaki berkenaan kini dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan kesihatan mental.

Video berdurasi 19 saat yang memaparkan insiden berkenaan turut menunjukkan beberapa orang awam bersama pihak polis membantu menahan lelaki tersebut demi keselamatan semua pihak.

BBerkaitan

Latest articles