Teguran Supaya Alih Barang Punca Tukang Cuci Ditembak

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bertindak menembak tukang cuci di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam malam tadi, dipercayai akibat tidak berpuas hati selepas ditegur supaya mengalihkan barang dari kawasan kerja mangsa.

Polis kini giat memburu suspek yang masih bebas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.

“Setakat ini, apa yang kita tahu, suspek menembak mangsa kerana tidak puas hati selepas ditegur mengenai barang yang diletakkannya di kawasan kerja mangsa.

“Hasil siasatan lanjut mungkin mendedahkan suspek berada di bawah pengaruh bahan terlarang,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan 60 Tahun Silat Cekak di Angkasapuri Kota Media, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya masih menyiasat sama ada suspek memiliki senjata api secara sah atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan adalah terkawal dan meminta orang ramai agar tidak bimbang.

“Buat masa ini, Polis Selangor dengan bantuan Polis Bukit Aman sedang menjalankan siasatan lanjut. Insya-Allah, kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Ketua Polis Negara juga telah mengarahkan semua ketua polis negeri untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan di pusat beli-belah bagi memastikan keyakinan orang ramai terus terjaga,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mendedahkan bahawa suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

BBerkaitan

Latest articles