KUALA LUMPUR: Penganjur TCE Baby Expo tampil memohon maaf secara terbuka susulan insiden paparan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit yang tular baru-baru ini di salah satu booth pempamer mereka.
Dalam satu kenyataan, pihak penganjur mengakui insiden tersebut merupakan isu sensitif yang menyinggung perasaan rakyat Malaysia dan menegaskan bahawa tindakan segera telah diambil terhadap pempamer terbabit.
“Kami ingin memohon maaf atas paparan Jalur Gemilang yang tidak lengkap di latar belakang booth Singapore Lactation Bakes (SLB). Walaupun kandungan tersebut berasal daripada pihak pempamer, kami tidak memandang ringan terhadap isu ini,” kata kenyataan itu.
Sebagai langkah tanggungjawab, TCE Baby Expo memaklumkan bahawa booth SLB telah dihentikan operasinya serta-merta dan ditutup daripada pameran.
“Video yang menunjukkan bendera tersebut juga telah diturunkan. Kami sedang menjalankan siasatan dalaman dan bekerjasama rapat dengan semua pihak terlibat bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil,” tambah kenyataan itu.
TCE Baby Expo turut memaklumkan bahawa mereka sedang meneliti semula semua proses semakan kandungan visual agar insiden serupa tidak berulang pada masa akan datang.
“Kami ambil serius perkara ini dan akan terus berusaha untuk menjaga maruah serta identiti negara. Kami mohon sedikit masa dan kesabaran daripada orang ramai untuk menyelesaikan isu ini dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.
Isu berkenaan tular di media sosial selepas paparan bendera Malaysia tanpa simbol bulan sabit dikesan di latar belakang pentas booth SLB dalam pameran tersebut.
Reka bentuk yang dipaparkan hanya menunjukkan 14 jalur merah-putih serta bintang pecah 14, namun tidak disertakan bulan sabit seperti dalam reka bentuk rasmi Jalur Gemilang.
Expo jualan barangan bayi itu kini sedang berlangsung di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota dan dijadualkan berakhir esok.