TAPAH — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan inisiatif pendidikan baharu yang menyasarkan pelajar Orang Asli, termasuk tawaran biasiswa penuh kepada 87 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Berucap dalam program Santuni Kasih Syawal Bersama Masyarakat Orang Asli di Sungai Keroh, Ayer Kuning, Zahid berkata daripada 1,932 calon Orang Asli yang menduduki SPM, seramai 87 pelajar berjaya memperoleh keputusan 5A ke atas, termasuk dua pelajar yang mendapat 9A dan 13 pelajar memperoleh 8A.
“Saya telah mengarahkan Pengerusi MARA supaya memberikan biasiswa penuh 100% kepada semua pelajar Orang Asli yang mendapat 5A ke atas untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan di bawah MARA,” katanya.
Menurut beliau, pelajar terbabit boleh memohon kemasukan ke institusi seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Politeknik Malaysia, German-Malaysian Institute dan institusi lain di bawah seliaan MARA.
Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif ini tidak ada kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Air Kuning, sebaliknya merupakan dasar menyeluruh kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini bukan untuk orang Air Kuning sahaja tetapi untuk anak-anak Orang Asli seluruh negara. Ini adalah keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan masyarakat Orang Asli,” tambahnya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan bahawa bagi pelajar yang memperoleh kurang daripada 5A, MARA juga telah diarahkan mencari laluan pendidikan sesuai untuk mereka.
“Saya juga telah menyebut di beberapa kampung Orang Asli bahawa kita telah mewujudkan program TVET khas untuk anak-anak Orang Asli,” ujarnya.
Dalam ucapannya, beliau turut memberi jaminan bahawa pembangunan masyarakat Orang Asli akan terus diberi keutamaan di bawah pentadbiran kerajaan Madani.
“JAKOA kini diletakkan di bawah kementerian saya. Saya akan pastikan kemajuan pembangunan masyarakat Orang Asli dilaksanakan dengan serius,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa JAKOA telah menyediakan draf pindaan Akta Orang Asli, dan meminta Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Dr Ramli Mohd Nor yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, membantu mempercepatkan proses tersebut demi menjaga kebajikan komuniti tersebut di seluruh negara.