KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan perkhidmatan seksual melalui WhatsApp.
Ibu kepada tujuh anak, Aniza Shakiera Ahmad, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Wanita itu didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah rumah tumpangan di Padang Seri Paduka, Kubang Kerian, Kota Bharu, pada pukul 7.30 malam, 16 November lalu.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan polis semasa Op Noda yang melakukan serbuan ke atas premis itu dan mendapati dia menawarkan perkhidmatan seksual dengan bayaran RM150 sekali langganan.
Waniat itu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor, manakala tertuduh diwakili peguam Ariyani Mohd Amin @ Abdul Hamid dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan.
Ariyani memohon hukuman denda dikurangkan dengan alasan tertuduh merupakan suri rumah sepenuh masa mempunyai tujuh anak, dan suaminya bekerja di kilang memproses ayam.
Mahkamah menjatuhi hukuman denda RM2,000 atau dipenjara dua bulan jika tertuduh gagal membayarnya.