Tatatertib: Hampir 70 Daripada 804 Pegawai, Anggota Polis Dibuang Kerja

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenakan hukuman tatatertib kepada 804 pegawai dan anggotanya.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, dalam jumlah itu, seramai 69 daripadanya telah dibuang kerja.

Dalam pada itu, 475 anggota dan pegawai PDRM diberikan amaran, denda (144), lucut hak emolumen (84), tangguh pergerakan gaji (16), turun gaji (8) dan turun pangkat (8).

Dalam tempoh sama, Azri menjelaskan, 611 pegawai dan anggota pula ditahan kerja, manakala 173 orang digantung kerja.

“Sebanyak 2,354 kertas siasatan tatatertib dibuka sejak Januari hingga Ogos lalu.

“Data hukuman tatatertib itu menunjukkan ketegasan dalam mengambil tindakan terhadap salah laku warga polis bukanlah ‘retorik’ semata-mata,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengeluarkan arahan “total enforcement” berkaitan Peraturan 3C Peraturan- peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993 pada 26 Ogos lalu.

Katanya, arahan itu ialah peringatan serius kepada pegawai polis bahawa kegagalan menjalankan tanggungjawab penyeliaan terhadap anggota bawahan, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut peraturan tatatertib.

Azri mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain semalam yang memberi amaran keras kepada pegawai bawahannya berhenti bersekongkol dengan sindiket jenayah kerana ada yang sanggup menjual nyawa rakan demi duit imbuhan daripada sindiket.

Katanya, ia disebabkan tiada penyeliaan di bawah (peringkat kontinjen dan daerah) untuk memantau serta melihat cara hidup pegawai dan anggota bawahan mereka.

Mengulas lanjut, Azri berkata, kesalahan pelanggaran undang-undang oleh anggota dan pegawai polis akan disiasat dan dituduh mengikut peruntukan akta.

“JIPS akan menjalankan siasatan tatatertib selari yang boleh berakhir dengan hukuman buang kerja atau turun pangkat dan sebagainya bergantung kepada ‘severity of the cases’.”

BBerkaitan

Latest articles