Taska Terbabit Kematian Bayi 4 Bulan Diarah Tutup Terus

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat asuhan kanak-Kanak (TASKA) di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat diarahkan untuk menutup terus operasinya selepas dipercayai terbabit kes kematian bayi lelaki empat bulan pada awal bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata arahan itu berikutan operator taska berkenaan akan menghadapi pendakwaan di mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah meminta ibu bapa kanak-kanak lain untuk menghantar anak masing-masing ke taska lain.

“Difahamkan, kertas siasatan hampir selesai dan pendakwaan akan dilakukan dalam masa terdekat. Ia (taska) kekal ditutup kerana mereka tidak berdaftar dan ada kes membabitkan Akta Kanak-Kanak.

“Mungkin ada ibu bapa beranggapan ini (penutupan) bagi tempoh sementara tapi menurut JKM ia ditutup sehingga kes ini selesai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Wanita Selangor yang dirasmikan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Anfaal berkata, dalam lawatan awalnya ke rumah ibu bapa bayi berkenaan, dimaklumkan bahawa terdapat 21 kanak-kanak yang berada di taska terbabit.

Anfaal juga ditanya sama ada taska berkenaan dalam proses mendaftar di bawah JKM.

Bagaimanapun beliau memaklumkan semakan jabatan itu mendapati proses berkenaan belum dimulakan.

Pada 7 Januari lalu, JKM mengarahkan taska itu ditutup selepas hadir membuat pemeriksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi dalam kenyataan sebelum ini memberitahu, polis mengesan unsur kecuaian yang menyebabkan kematian bayi lelaki berkenaan.

Katanya, terdapat unsur kecuaian atau pengabaian oleh pengasuh kerana meninggalkan mangsa dalam tempoh masa yang lama tanpa pemantauan.

BBerkaitan

Latest articles