KUALA LUMPUR: Sebuah pusat asuhan kanak-kanak yang dikaitkan dengan dakwaan penderaan di Shah Alam disahkan tidak berada di bawah pembiayaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menjelaskan perkara itu menerusi ruangan komen di akaun Instagram pempengaruh, Caprice, yang sebelum ini mendedahkan isu berkenaan kepada umum.
Menurut beliau, taska yang didakwa terlibat dalam kes penderaan itu sebenarnya terletak di Kota Kemuning dan bukan sebahagian daripada rangkaian institusi yang dibiayai MARA.
Walaupun begitu, Asyraf Wajdi tetap mengarahkan pihak pengurusan MARA menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan tiada sebarang kerjasama atau pembiayaan diberikan kepada institusi yang mempunyai rekod buruk, khususnya melibatkan keselamatan kanak-kanak.
“Saya tidak mahu MARA membiayai atau berkolaborasi dengan mana-mana institusi yang gagal menjaga kualiti pendidikan, lebih-lebih lagi yang melibatkan keselamatan dan kebajikan anak-anak,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan setakat ini hanya dua premis taska menerima pembiayaan MARA, iaitu cawangan di Klang dan Bestari Jaya.
Dalam masa sama, Asyraf Wajdi menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penderaan itu agar tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
“Semua komen dan maklumat yang dikongsi di ruangan posting itu akan diteliti oleh pihak pengurusan MARA dan tindakan sewajarnya akan diambil dengan segera,” katanya lagi.
Isu ini tercetus selepas Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli memuat naik video pendedahan di Instagram mengenai dakwaan penderaan di sebuah taska di Shah Alam.
Video tersebut dikatakan dikongsi oleh bekas pelatih yang mendakwa tidak sanggup meneruskan latihan selepas hanya dua hari kerana terkejut melihat perlakuan terhadap kanak-kanak di taska berkenaan.
Antara kandungan video yang tular termasuk dakwaan seorang kanak-kanak autisme dikurung dalam bilik stor serta bayi dipaksa minum susu dalam keadaan menangis teresak-esak.
Caprice turut berkongsi gambar yang didakwa menunjukkan pihak pengurusan MARA pernah mengadakan lawatan ke taska tersebut, sekali gus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan orang ramai sebelum penjelasan rasmi dibuat oleh Asyraf Wajdi.










