Tarikh Sudah Ada, Mengapa Guan Eng Masih Main Tarik-Tali Debat Dengan Ka Siong?

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng digesa utuk tidak bersikap provokatif apabila membabitkan isu-isu nasional.

Mengulas mengenai pelawaan debat antara Guan Eng dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, pemimpin DAP itu juga dinasihatkan untuk bersikap profesional dan menangani sesuatu dengan profesionalisme.

Perkara itu ditegaskan Jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan dengan berkata, tindakan Guan Eng mencabar Ka Siong bukan sesuatu yang baharu dalam sejarah politik kedua-dua parti berkenaan.

Namun dua pelawaan daripada Ka Siong berakhir dengan penolakan Ahli Parlimen Bagan itu.

Beliau mengimbas pelawaan pada tahun 2018, dimana Guan Eng telah menolak pelawaan Ahli Parlimen Ayer Hitam itu untuk berdebat mengenai skandal terowong bawah laut yang melibatkan wang berbilion pembayar cukai.

Apa yang dilihat pada ketika itu adalah

Guan Eng seolah-olah enggan merendahkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung DAP untuk berdebat dengan Ka Siong yang hanya merupakan Timbalan Presiden MCA pada ketika itu.

”Pada tahun berikutnya, Ka Siong selaku Presiden MCA menjemput Guan Eng, yang ketika itu menteri kewangan untuk berdebat mengenai peruntukan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).

”Tetapi, Guan Eng sekali lagi menolak, walaupun dengan berani mempolitikkan pemberian padanan geran untuk mengekalkan oerasi TAR UC,” katanya dalam kenyataan.

Sedangkan, Chong berkata, peruntukan itu adalah pemberian instrumen khas yang diumumkan oleh mantan Menteri Pendidikan, Tun Hussein Onn pada 22 Ogos 1972.

Sistem pemberian dana yang sesuai adalah pengaturan khas untuk TARC supaya pendidikan dapat terjangkau bagi rakyat Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Guan Eng pada Jumaat lalu, menerusi satu hantaran Facebook mendakwa dia tidak menerima maklum balas daripada pejabat Ka Siong untuk membincangkan cabaran debat berkenaan dasar kabotaj yang menyebabkan pemasangan kabel dasar laut Apricot sepanjang 12,000 kilometer tidak membabitkan negara ini.

Guan Eng, yang juga bekas Menteri Kewangan itu turut memuat naik tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp Debat Dasar Kabotaj kononnya dianggotai beliau, Ka Siong dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bagi membincangkan cabaran debat.

Semakan mendapati tangkap layar itu adalah hasut maya (troll) berdasarkan tulisan ‘Mobile Meme’di penjuru atas kiri tangkap layar itu.

Pada 30 September lalu, Ka Siong mencabar Guan Eng untuk berdebat selepas Ahli Parlimen Bagan itu bertanya di Dewan Rakyat adakah dasar kabotaj menyebabkan Malaysia tidak dilibatkan dalam projek pemasangan kabel dasar laut oleh syarikat gergasi teknologi.

Melalui dasar kabotaj, kapal berdaftar di Malaysia akan diberi keutamaan termasuk melakukan kerja pembaikan kabel di dasar laut.

Dasar itu pernah dikecualikan sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun dikuatkuasakan semula semasa kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pembatalan pengecualian kabotaj diumumkan Ka Siong pada November 2020 bagi mengurangkan aliran keluar pertukaran asing dalam bentuk pembayaran perkapalan atau pajakan serta bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap kapal asing dengan meningkatkan pembabitan syarikat perkapalan tempatan dalam perkhidmatan domestik.

Ka Siong turut menyelar tindakan Guan Eng yang memfitnahnya apabila memuat naik tangkap layar kumpulan WhatsApp berkenaan sebagai tidak profesional dan berniat buruk.

Menurut Chong, tindakan Guan Eng menggunakan tangkap skrin WhatsApp palsu untuk menunjukkan keadaan secara negatif dan mendakwa ia dibuat untuk tujuan sindiran.

Ka Siong, pada baru-baru ini turut memberi jaminan bahawa perbahasan akan diadakan setelah Belanjawan 2022 dibentangkan.

Tambah beliau, TV3 juga telah menghubungi kedua-dua pihak dan mencadangkan perbahasan diadakan pada 2 November 2021.

Ka Siong, jelasnya telah bersetuju dengan tarikh tersebut.

”Jadi mengapa Guan Eng masih gelisah?,” tambah Chong.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Advertisment

Terkini