Tarikh Debat Najib-Anwar Diumumkan Hujung Minggu Ini

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil memaklumkan tarikh debat antara bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diumumkan dalam sidang media hujung minggu ini.

Malah lokasi debat dan media yang berhak untuk menyiarkan perdebatan kedua-dua pemimpin terbabit turut akan diumumkan pada tarikh yang sama.

Fahmi berkata perkara tersebut telah dibincangkan bersama dengan Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor Isham Jalil yang juga bekas pengawai khas Najib.

Menurut Fahmi, Anwar mahu perdebatan berlangsung secepat mungkin dalam bulan Ramadan manakala Isham memberitahu perdebatan tersebut sesuai diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Semalam 13 April dalam pertemuan pukul 4 petang, Isham bertiga, saya juga bertiga, saya ulang pendirian Anwar supaya debat diadakan secepat mungkin dalam bulan Ramadan.

“Dan Isham tetap dengan pandangan masa sesuai ialah selepas Raya. Beberapa tarikh khusus dibincang tapi belum dimuktamad.

“Kami juga bersetuju pemakluman debat akan dibuat secara bersama dalam satu sidang media hujung minggu ini,” kata Fahmi dalam satu kenyataan ringkas.

Katanya, setakat ini belum ada sebarang tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

“Isham sampaikan pandangan bulan Ramadan tak sesuai atas pelbagai alasan, dan cadang selepas Raya.

“Saya terima pandangan beliau dan kami bincang beberapa tarikh untuk dirujuk kepada pimpinan masing-masing,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles