KUALA LUMPUR: Cerapan anak bulan Zulhijjah akan dijalankan serentak di 29 lokasi seluruh negara hari ini, bagi menentukan tarikh rasmi Hari Raya Aidiladha di Malaysia.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hasil cerapan akan diserahkan kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan tarikh Aidiladha akan diumumkan secara rasmi pada malam menerusi siaran televisyen dan platform media sosial.
Kenyataan itu turut mengingatkan orang ramai agar merujuk kepada pihak berkuasa agama tempatan dan bukannya sumber luar negara.
“Kaedah penentuan awal Zulhijjah di Malaysia menggabungkan kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria Imkanur Rukyah, bukan mengikuti takwim Umm al-Qura seperti di Arab Saudi,” menurut kenyataan itu.
Penjelasan ini dibuat susulan penularan maklumat di media sosial yang mendakwa Aidiladha di Malaysia jatuh pada 6 Jun, selaras dengan pengumuman Pusat Astronomi Antarabangsa.
Sejak 1995, Malaysia menetapkan tarikh-tarikh penting dalam kalendar Islam seperti Ramadan, Syawal dan Zulhijjah berdasarkan cerapan anak bulan, manakala bulan-bulan lain menggunakan hisab sepenuhnya.
Bermula Muharam 1443H, Malaysia mengguna pakai syarat baharu iaitu anak bulan dianggap kelihatan jika berada 3° di atas ufuk dan 6.4° jarak lengkung dari matahari ketika matahari terbenam.
Syarat ini turut dipersetujui oleh negara-negara MABIMS seperti Indonesia, Brunei dan Singapura, meskipun setiap negara mempunyai prosedur sendiri dalam menentukan tarikh rasmi berdasarkan rukyah.
Pejabat Mufti menegaskan, perbezaan tarikh Aidiladha antara negara adalah perkara biasa dalam fiqh, bergantung kepada lokasi geografi dan kaedah penetapan masing-masing.
Orang ramai dinasihatkan untuk menunggu pengumuman rasmi dari pihak berautoriti bagi mengelakkan kekeliruan dan menghormati proses syariah yang telah ditetapkan negara.