Tarif Elektrik, Air Tak Naik, Tak Perlu Naikkan Harga Ais – PM

KUALA LUMPUR: Tidak ada sebab untuk

syarikat pengeluar air mengambil kesempatan untuk menaikkan harga ais.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenaikan itu tidak perlu memandangkan kerajaan tidak menaikkan tarif air dan elektrik.

“Harga ais tidak patut naik sebab tiada kenaikan tarif air dan elektrik, kita beri air dengan harga yang murah di negara ini.

“Tidak ada sebab untuk naikkan harga, kalau kilang ais batu nak naikkan harga tidak ada sebab. Roti Gardenia kononnya, dimana gandum kita tidak tanam sendiri dan kita import gandum itu.

“Ini yang berikan kesan (kenaikan harga),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan harga barangan di MyFarm Outlet Kasih, Presint 9, Putrajaya, hari ini.

Turut serta, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Ismail Sabri mengulas kenaikan harga ais seperti yang dilaporkan media sejak semalam, dengan caj sebanyak 50 sen untuk sebungkus.

Mengulas lanjut, beliau mengarahkan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membuat kajian terperinci mengenai kos pengeluaran untuk produk ais dan roti putih keluaran tempatan.

“Saya sudah arahkan KPDNHEP bahawa kita tidak mahu dengar alasan tapi mereka kena buat kajian mengapa kos itu meningkat, kos import berapa dan harganya berapa dan sampai ke pelabuhan berapa, semua rantaian itu saya minta KPDNHEP supaya membuat kajian secara terperinci, saya tidak boleh kata harga gandum naik jadi kita naikkan harga, tidak boleh.

“Kita kena telus dengan harga di luar negara dan sampai kepada rakyat,” katanya lagi.

Terdahulu jurucakap syarikat ais memberitahu, pihaknya tiada pilihan kerana kilang pengeluar ais telah menaikkan harga selain kenaikan kos penyelenggaraan lori, malahan beg plastik yang digunakan untuk membungkus ais turut mengalami kenaikan harga.

Sejak beberapa minggu ini, rakyat meluahkan kegusaran terhadap kenaikan harga pelbagai barangan keperluan harian seperti sayur dan lauk.

Malah Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) dilaporkan akan menyemak semula harga bagi produk-produk keluarannya berkuat kuasa 1 Disember ini.

Menerusi satu kenyataan, Gardenia KL berkata, peningkatan ketara dalam kos pengeluaran dan bahan yang di luar kawalan mereka meletakkan syarikat itu dalam kedudukan sukar tanpa sebarang pilihan kecuali menyemak semula harga.

Selang tiga hari kemudian, KPDNHEP menyarankan syarikat pengeluar roti jenama terkenal itu untuk menangguhkan dahulu hasrat untuk menaikkan harga produknya.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan bebanan pengguna yang terus terhimpit dengan situasi peningkatan harga barangan pada masa ini.

BBerkaitan

Latest articles