Tangguh PRU15, Menteri PN Sembah Surat Bantahan Kepada Agong

KUALA LUMPUR: Menteri Kabinet daripada Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu dan PAS dilaporkan menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah gesaan pembubaran Parlimen dalam masa terdekat, seperti yang dimahukan UMNO.

Lapor MalaysiaNow, 12 menteri gabungan berkenaan menandatangani surat bertarikh 3 Oktober kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi menunjukkan Kabinet tidak sebulat suara mengenai keputusan membubarkan Parlimen.

Dilaporkan, surat yang diterima Istana semalam, antara lain memetik ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai Monsun Timur Laut yang akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negeri-negeri di Malaysia terutama di pantai timur.

Selain itu, surat itu turut memaklumkan mengenai tekanan ekonomi yang dihadapi oleh rakyat.

Selain PN, gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) juga turut membantah sekeras-kerasnya sebarang tindakan untuk mengadakan PRU15 lebih awal.
Tegas mereka, tumpuan harus diberikan kepada pemulihan ekonomi selepas pandemik, selain persediaan menghadapi banjir tahunan.

Penggal Parlimen ke-15 dijadualkan tamat pertengahan tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengesahkan bahawa beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong petang ini.

BBerkaitan

Latest articles