Tangani Kos Sara Hidup Cara Najib Razak, Ahmad Maslan, Rafizi

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah memberi cadangan makan kangkung sebagai alternatif kerana ketika itu sayur lain harganya mahal.

Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan turut mencadangkan rakyat melakukan lebih daripada satu kerja bagi menambah pendapatan.

Terkini Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula menyarankan kurang makan ayam dalam berhadapan keadaan harga ayam yang tinggi di pasaran.

Kesemua idea ketiga-tiga pemimpin kerajaan yang berlatarkan ekonomi dan sentiasa memikirkan tentang ringgit dan sen itu bagaimanapun ditempelak sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan idea tersebut.

Mungkin sepintas lalu nampak idea berkenaan terlalu mudah dan lucu daripada ketiga-tiga pemimpin politik itu.

Sebenarnya idea berkenaan sudah lama diketengahkan oleh aktivis kepenggunaan malah lebih ekstrem mendesak agar pengguna memboikot sahaja peniaga yang menjual produk makanan dengan harga yang melampau tinggi.

Persatuan pengguna percaya hanya dengan menggunakan kuasa boikot, akan dapat menakutkan peniaga terbabit untuk akur dengan desakan orang ramai agar harga barang diturunkan.

Mereka jugalah yang sering memberi nasihat kepada orang ramai tentang makanan-makanan tidak sihat dan tiada kualiti dijual merata tempat termasuk di kantin-kantin sekolah.

Namun cadangan daripada persatuan pengguna tidak pernah dilihat secara serius malah pengguna juga tidak percaya kuasa yang ada pada diri mereka sendiri dalam memberi tekanan kepada peniaga.

Bagi mereka, jika mengikut cadangan persatuan pengguna itu, apa pun mereka tidak boleh makan kerana segala-galanya tidak sihat atau orang ramai sememangnya bergantung kepada makanan tersebut.

Begitulah cadangan daripada tiga pemimpin berkenaan yang dipandang sebelah mata dan secara sinis oleh orang ramai. Musuh mereka pula akan terus memperlekehkan idea berkenaan untuk mendapat laba politik.

Pengguna juga seperti tidak mahu memberi peluang langsung kepada idea bahawa mereka sebenarnya boleh memainkan peranan untuk menurunkan harga barang.

Mudah sahaja, kurangkan pembelian atau boikot peniaga yang jual dengan harga melampau. Tidak mungkin protein dalam badan mereka akan terjejas jika seminggu tidak makan telur, ayam atau ikan. Mustahil tiada alternatif lain untuk menggantikan makanan tersebut.

Namun untuk mengharapkan kuasa pengguna sahaja menurunkan harga memanglah tidak adil kerana kerajaan mempunyai tanggungjawab sosial lebih besar dan kuasa untuk mempengaruhi pasaran. – UTUSAN

BBerkaitan

Latest articles