Tanding Bebas, Tian Chua Bakal Dipecat Dari PKR

KUALA LUMPUR: Tidak sepatutnya bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua, bertanding di kawasan itu atas tiket bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Itu reaksi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap tindakan Tian Chua itu.

Malah Tian Chua juga bakal dipecat dari PKR.

“Mengikut dasar PKR, mereka yang bertanding sebagai calon bebas atau memilih untuk meninggalkan parti atas apa jua sebab secara automatik akan dipecat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pengumuman calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Parlimen Tambun yang ditandingi beliau di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Meru, hari ini.

Tian Chua, seperti dipetik beberapa laporan berita memaklumkan beliau sedia menghadapi sebarang tindakan terhadapnya kerana bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Batu menentang calon parti sendiri P. Prabakaran yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Bekas Naib Presiden PKR itu menyerahkan borang pencalonan pagi tadi untuk merampas kembali kerusi Parlimen Batu yang diwakilinya selama dua penggal dari 2008.

Pada PRU 2018, Prabakaran yang bertanding sebagai calon Bebas memenangi kerusi itu, kemudian menyertai PKR dan kini berdepan sembilan lagi calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu itu pada PRU15.

BBerkaitan

Latest articles