HULU SELANGOR: Kerajaan akan menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia manakala wang ihsan RM1000 kepada keluarga terlibat kejadian tanah runtuh di Batang Kali.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bantuan itu akan diselaraskan oleh kerajaan Selangor dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Untuk (keluarga) mangsa yang meninggal dunia, kita akan segerakan bantuan RM10,000 untuk permulaan dan RM1,00 bagi setiap keluarga mangsa yang lain.
“Saya percaya perkara ini dapat diselaraskan oleh kerajaan negeri, NGO dan rakan-rakan (lain) membantu,” katanya pada sidang media di tempat bencana itu malam tadi.
Anwar berkata, beliau akan mengarahkan pegawai bertanggungjawab menguruskan bantuan itu esok.
“Tetapi saya lebih bersetuju untuk perkara ini diselaraskan oleh pasukan di bawah kerajaan negeri Selangor dan pegawai-pegawai di sini dapat mengendalikan dengan lebih baik untuk pihak kerajaan Persekutuan.
“Kita akan dahulukan esok, Insya-Allah saya serah kepada Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) untuk uruskan sebaiknya,” katanya.
Anwar turut menzahirkan rasa simpati kepada mangsa dan ahli keluarga terlibat kejadian tanah runtuh itu.
Perdana Menteri meluangkan masa mendengar taklimat berhubung operasi oleh agensi penguatkuasaan, sebelum meninjau keadaan di runtuhan, malam tadi.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Amirudin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.