Tanah Runtuh Batang Kali : Kerajaan, Pemilik Tapak Boleh Disaman

Kerajaan dan pemilik tapak perkhemahan boleh dikenakan saman atas kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali baru-baru ini.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla walau bagaimanapun berkata, laporan punca kejadian perlu dilakukan sebelum memulakan saman sivil untuk mengenal pasti punca kejadian runtuhan.

“Laporan ini melibatkan pelbagai pakar untuk melihat sejauh mana punca runtuh. Adakah disebabkan oleh faktor alam sekitar atau kerja-kerja tarahan bukit berlaku? Selepas kajian yang memerlukan masa dua tiga bulan, barulah kita kemukakan saman di mahkamah.”

“Bukan sahaja pemilik tapak, tetapi juga melihat pihak berkuasa jika kawasan runtuh itu terletak di bawah bidang kuasa mereka. Namun sebarang pembuktian mahkamah, ia memerlukan kajian pakar-pakar terlebih dahulu untuk mengesahkan,” katanya.

Selain itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood memberitahu, pemilik tapak perkhemahan juga boleh disaman atas faktor kegagalan untuk memastikan keselamatan penghuni termasuk menilai risiko cerun dan kesesuaian lokasi.

“Kegagalan berbuat demikian menjadi hujah kuat keluarga mangsa untuk mengambil tindakan sivil seperti mana digariskan dalam undang-undang tort iaitu kesalahan membolehkan tindakan diambil ke atas pelakunya kerana sudah menjadi amanah pemilik tapak untuk menjaga keselamatan setiap individu dibenarkan masuk ke premis,” jelasnya.

“Tetapi keluarga mangsa selaku plaintif haruslah membuktikan kecuaian pemilik tanah,” tegasnya.

Dalam kejadian tanah runtuh pada 16 Disember lalu, seramai 92 orang mangsa terjejas dengan hanya 61 orang daripadanya terselamat.

Operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan oleh pasukan keselamatan terdiri daripada lima agensi utama selama sembilan hari.

Susulan kejadian itu polis mengambil keterangan 77 individu termasuk pemilik tapak perkhemahan itu.

BBerkaitan

Latest articles