KUALA LUMPUR: Seramai 37 individu berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Genting Highlands, Pahang, awal pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.24 pagi sebelum menggerakkan anggota dan aset ke lokasi kejadian.
Menurut Norazam, operasi turut dibantu oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kuala Kubu Bharu, Rawang, Genting Highlands, Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang, Andalas.
“Berdasarkan laporan awal, kejadian tanah runtuh yang berlaku di tepi jalan berhampiran Father Organic Farm menghempap sebuah tapak perkhemahan.
“Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan satu ekar (0.4 hektar),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, maklumat awal pihak polis terdapat 100 orang yang berada di tapak perkhemahan itu yang berkemungkinan menjadi mangsa runtuhan.
“Ketika ini misi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilaksanakan bersama pasukan STORM,” katanya.