KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali- Goh Tong Genting, Batang Kali, Selangor pada 16 Disember lalu mencapai 85 hingga 90 peratus untuk diselesaikan.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Arjunaidi berkata, seramai 77 individu juga telah diambil keterangan bagi membantu siasatan tanah runtuh itu.
“Setakat ini, polis sudah selesai merakam keterangan daripada seramai 77 individu termasuk ahli keluarga 31 mangsa yang telah meninggal dunia serta mangsa yang terselamat dalam bencana itu bagi membantu siasatan lanjut kes kami.
“Pihak lain yang turut akan diambil keterangan dalam kes ini termasuk anggota polis yang menerima maklumat pertama mengenai kejadian itu dan anggota pasukan penyelamat di tempat kejadian yang terlibat dalam operasi membantu menyelamat (SAR) dan mengeluarkan mangsa dari runtuhan tanah itu,” katanya
Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pentauliahan Inspektor Kor SUKSIS Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2022 di Bangi, dekat sini, hari ini.
Bagaimanapun, Arjunaidi berkata, pihaknya akan memanggil beberapa saksi lagi untuk memberi keterangan, seperti anggota pasukan penyelamat yang mula-mula sampai di tempat kejadian dan menemui mayat.
Seramai 92 mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada jam 2.30 pagi 16 Disember lalu.
Dripada jumlah itu, seramai 61 orang terselamat manakala baki 31 orang, termasuk kanak-kanak terkorban akibat tertimbus tanah.