JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, bersetuju menukar hak milik hartanah peribadi bernilai antara RM15 bilion hingga RM20 bilion di Holland Road, Singapura, kepada kerajaan republik itu, menerusi satu perjanjian yang melibatkan pertukaran tanah secara rasmi.
Menurut kenyataan bersama oleh Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Tunku Mahkota Ismail akan menyerahkan 13 hektar tanah milik baginda yang terletak berhampiran Tapak Warisan Dunia UNESCO, Taman Botani Singapura, sebagai sebahagian daripada rundingan diplomatik berprofil tinggi antara Johor dan Singapura.
Sebagai balasan, kerajaan Singapura akan memindahkan 8.5 hektar tanah milik negara kepada Tunku Mahkota Ismail, yang dinilai setara dari segi nilai pasaran dan potensi pembangunan.
“Tanah gantian itu adalah berstatus milik negara dan akan dipindahkan kepada Tunku Mahkota Ismail untuk pembangunan yang sesuai,” jelas kenyataan rasmi SLA dan URA.
Tunku Ismail ketika ini memiliki kira-kira 21.1 hektar tanah di kawasan eksklusif Holland Road, yang telah berada di bawah pemilikan peribadi keluarga Diraja Johor sejak beberapa generasi.
Menurut URA, baginda kini bercadang membangunkan tanah gantian itu, dengan fokus kepada kediaman bertingkat rendah dan berkepadatan rendah, sejajar dengan konteks persekitaran kawasan.
SLA dan URA turut menegaskan bahawa semua pelan pembangunan perlu melalui proses kelulusan perancangan seperti biasa.
Kajian alam sekitar juga akan dilakukan bagi memastikan kesan pembangunan terhadap ekosistem sekitar dapat diminimumkan.
“Sebarang pembangunan akan dinilai bagi memastikan ia selaras dengan latar persekitaran dan pelan bandar sedia ada,” tambah kenyataan itu.
Buat masa ini, kerajaan Singapura memaklumkan bahawa tanah yang diterima hasil pertukaran itu tidak akan dibangunkan.
Namun, pihaknya terbuka untuk meneroka sebarang perancangan masa depan yang sesuai dengan zon berkenaan.